Friday 16 May 2014

Sudan pelawa Petronas tambah pelaburan

Petronas akan meningkatkan pelaburannya dengan menerokai blok-blok minyak baharu di Sudan, kata Menteri Minyak negara itu, Makkawi Mohamed Awad.

Persetujuan tersebut dicapai dalam pertemuan antara Makkawi dengan Presiden Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas di sini, semalam.

“Presiden Petronas menyatakan persetujuan untuk meningkatkan pelaburan syarikat minyak Malaysia itu menerusi penerokaan blok-blok minyak baharu di Sudan," kata beliau seperti dilaporkan dalam laman web akhbar Sudan Tribune di sini hari ini.

Mesyuarat itu bagi membincangkan kemungkinan meningkatkan pelaburan dalam bidang-bidang yang terbukti mempunyai kehadiran minyak yang kukuh.

Makkawi dalam kenyataannya berkata, terdapat pelabur baharu akan memulakan kerja-kerja cari gali lapangan minyak baharu di Sudan.

Menurut beliau, stok simpanan minyak di Sudan dianggarkan mencecah empat bilion tong, dan jumlah pengeluaran dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Untuk itu, beliau menggesa Petronas supaya meningkatkan pelaburan di Sudan dan memulakan penerokaan ke atas blok minyak baharu sekali gus memainkan peranan dalam projek minyak pertama di negara tersebut.

Secara dasarnya, penglibatan Petronas di Sudan telah bermula sejak 1995 yang turut menyaksikan syarikat minyak gergasi negara itu mengembangkan peranannya dalam sektor minyak dan gas dari peringkat hiliran hingga huluan merentasi negara-negara Afrika.

Minyak menjadi sumber pendapatan utama Sudan sehingga berlakunya pemisahan selatan pada Julai 2011.

Tragedi itu mengakibatkan Khartoum mengalami kerugian sehingga 75 peratus pengeluaran minyak dan sekelip mata hilang status sebagai negara pengeksport minyak.