Thursday 8 May 2014

UMW-OG yakin peroleh tiga kontrak tahun ini

UMW Oil Gas Corp Bhd yakin akan memperoleh sekurang-kurangnya tiga kontrak tahun ini daripada 20 yang dibida, kata Presidennya, Rohaizad Darus.

Beliau berkata, syarikat itu berjaya dalam bidaannya sejak beberapa tahun lalu walaupun menghadapi kekurangan pelantar jenis mudah alih, yang merupakan cabaran utama.

"Tahun ini kami ada tiga pelantar dan oleh itu saya menjangkakan peluang untuk memperoleh kontrak agak besar," katanya kepada Bernama di luar acara penerimaan dermaga pelantar itu, UMW Naga 5, daripada Keppel FELS di Singapura, baru-baru ini.

UMW-OG syarikat yang 55 peratus milik UMW, dijangka menerima lagi dua pelantar - Naga 6 dan Naga 7 - pada September dan Disember depan.

Rohaizad berkata 20 kontrak disasarkan oleh syarikat itu bernilai RM1.9 bilion.

Kira-kira 60 peratus daripada kontrak berkenaan membabitkan kontrak jangka pendek manakala bakinya jangka panjang.- BERNAMA