Sunday 5 December 2010

Kenaikan 4-dalam-1: NGO, orang ramai kesal

Kenaikan harga barang kawalan seperti minyak, diesel, gas asli cecair (LPG) dan gula kesan daripada rasionalisasi subsidi mendapat bantahn meluas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Hamdan Adnan menyifatkan kenaikan harga minyak RON95 adalah tidak wajar kerana minyak merupakan nadi kepada rakyat.

"Kalau gula naik, tidak apalah, tapi kalau harga minyak naik, rakyat di negara ini akan makin terdesak kerana minyak menjana pembangunan negara.

"Rakyat banyak menggunakan bahan tersebut dan pertimbangan mengenai kenaikan harga minyak adalah perlu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kerajaan sewajarnya mewujudkan satu mekanisme dalam mengawal harga minyak supaya golongan sasaran saja yang menikmati subsidi berkenaan.
Cuepacs: Golongan rendah terjejas

Beliau diminta mengulas mengenai kenaikan harga keempat-empat barangan itu yang diumumkan kerajaan hari ini.

Berkuatkuasa mulai esok, harga petrol RON95 dinaikkan sebanyak 0.05 sen kepada RM1.90 seliter, diesel dari RM1.75 kepada RM1.80 seliter, harga gas asli cecair (LPG) dinaikkan 0.05 sen kepada RM1.90 manakala harga gula dinaikkan sebanyak 0.20 sen menjadikan harga gula adalah RM2.10 untuk sekilo.

Pandangan Hamdan itu turut dikongsi oleh Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mengulangi pendiriannya sebelum ini mengenai kenaikan harga gula dan minyak.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pihaknya bimbang mengenai kenaikan harga semua barangan berkenaan terhadap golongan berpendapatan rendah.

"Kita bimbang dengan kenaikan ini (harga barangan) akan menjejas golongan berpendapatan rendah terutamanya yang bekerja dengan kerajaan," katanya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula mempersoalkan kewajaran kerajaan menaikkan harga bahan api petrol dan diesel yang dikatakan membabitkan petrol RON 95.
Rakyat marhaen menderita

Harakahdaily melaporkan Salahuddin sebagai berkata RON 95 adalah untuk rakyat yang perlu dikekalkan harganya supaya tidak membebankan rakyat yang menjadi pengguna terbanyak.

Kata Salahuddin (kanan), kenaikan itu sangat mengecewakan.

"Sikap PAS, keutamaan mesti pada rakyat, ambil kira rakyat dahulu sebelum yang lain-lain," katanya.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus pula berkata, rakyat marhaen paling terkesan dengan kenaikan itu kerana mereka adalah majoriti pengguna petrol RON95.

Sambil menyifatkan kenaikan mengejut itu sebagai 'gila', beliau mengharapkan rakyat menolak Umno BN yang secara terang terangan tidak mengutamakan rakyat terbanyak.

"BN zalimi rakyat marhaen, tak peduli kesusahan rakyat," katanya.

Gamis: Tarik subsidi kroni, bukan rakyat

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia ( GAMIS ) juga kesal dengan kenaikan harga barangan asas pengguna yang menjadi permintaan harian rakyat iaitu petrol, gas, diesel dan gula.

Menurut, presidennya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan kenaikan ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

“Alasan yang digunakan ialah perlu pelarasan fiskal dalam perbelanjaan negara khususnya dalam mengurangkan perbelanjaan. Persoalnnya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19billion tidak dipotong?

“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM 5billion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya. Kenapa kos permulaan penubuhan PEMANDU di bawah JPM berjumlah RM66juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja?” soalnya dalam satu kenyataan.

Menurut Gamis, sepatutnya pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan menarik hak rakyat marhaen.

Katanya, mahasiswa merasakan alasan untuk mengurangkan subsisdi bagi bahan keperluan asas rakyat ini sangat tidak masuk akal.

“Dimana slogan rakyat didahulukan yang dilaungkan sebelum daripada ini sekiranya perkara keperluan asas rakyat juga boleh diperdagangkan.

Katanya, soal yang lebih besar bila harga petrol dan diesel naik akan menyebabkan harga barangan lain akan naik secara lansungnya. - MalaysiaKini