Tuesday 22 January 2019

Petronas perlu mendapatkan lesen, permit dan pajakan cari gali minyak dari Sarawak

KUCHING: Syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu mendapatkan lesen, permit, pajakan atau kebenaran sepertimana syarikat cari gali minyak lain di negeri ini bermula Julai ini.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Pusat-Negeri dan Pemantauan Projek Sarawak, Sharifah Hasidah Sayed Aman Ghazali berkata, peruntukan tersebut termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1954 dan Petronas tidak terkecuali.

"Malah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan perkara ini dengan jelas sewaktu pelancaran Petroleum Sarawak Berhad (Petros) serta beberapa majlis tertutup lain.

"Justeru tidak timbul soal 'pertindihan kuasa perundangan' di antara ordinan negeri dan akta persekutuan berkait isu pemilikan sumber asli minyak dan gas di Sarawak," katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com hari ini .

Menurutnya, tafsiran sesetengah pihak bahawa Ordinan Pelombongan Minyak 1958 mengatasi Akta Pembangunan Petroleum 1974 sebenarnya 'tidak lagi timbul'.

"Segala-galanya telah jelas, dan seperti kata Ketua Menteri, pengembalian hak ini sudah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak secara terbuka.

Katanya, lesen, permit, pajakan dan kebenaran yang dikehendaki oleh Ordinan Perlombongan Minyak 1958 atau Ordinan Pengedaran Gas 2016 adalah berkaitan kawalan peraturan dalam soal carian, edaran dan sebagainya minyak dan gas di Sarawak.

"Justeru ia membawa maksud kita telah 'memiliknegerikan' kembali hak kita yang selama ini terselindung.

Hasidah berkata, Sarawak akan meneruskan usaha rundingan 'Penurunan Kuasa' dengan Kerajaan Pusat memandangkan masih banyak isu yang belum diselesaikan.

"Tidak semua perkara dapat kita capai sekali gus dalam masa yang sesingkat ini.

"Tetapi kita berada pada landasan yang betul dan rundingan akan berlaku secara berperingkat.

"Yang penting kita mahu kejayaan yang besar dan mendatangkan impak," katanya lagi. –Sarawakvoice