Wednesday 30 January 2019

PETRONAS sangkal tuduhan portal



Inline image

PETRONAS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan dalam sebuah hantaran pada satu blog dan berkata ia adalah tidak benar dan tidak berasas.

"Merujuk kepada tuduhan berniat jahat yang terkandung dalam satu tulisan laman dalam talian yang tidak disahkan, PETRONAS mahu menegaskan sekeras-kerasnya bahawa tuduhan berkenaan adalah tidak benar dan tidak berasas.

"PETRONAS mengekalkan standard tadbir urus dan ketelusan yang tertinggi dalam semua urusan perniagaan dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang terus memburukkan reputasi dan perniagaan syarikat atau kakitangannya.

"PETRONAS telah memfailkan laporan dengan pihak berkuasa berkaitan berhubung hantaran berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.

PETRONAS tidak memperincikan di dalam kenyataan itu bentuk tuduhan dalam hantaran blog berkenaan dan portal yang menerbitkannya.

Namun, kenyataan difahamkan sebagai maklum balas kepada laporan sebuah portal, Sabahkini2.com, bertajuk 'Skandal PETRONAS: Rasuah, hubungan sulit bakal selamatkan kontrak UZMA Bhd' yang dikeluarkan kelmarin.

Antara petikan hantaran blog itu ialah 'Benarkah di PETRONAS syarikat-syarikat tertentu mendapat layanan istimewa asalkan ada hubungan skandal dan dan juga bayar rasuah kepada Group Procurement Project Delivery & Technology (PD&T). Apa istimewanya UZMA Bhd di mata PETRONAS'.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Uzma, pembekal perkhidmatan sokongan minyak dan gas turut menafikan dakwaan berkenaan.

"Merujuk laporan yang diterbitkan oleh laman web tidak disahkan pada 29 Januari 2019 itu, Uzma secara tegasnya menyangkal tuduhan palsu yang dibuat ke atas syarikat, eksekutif dan pelanggan utama kami.

"Kami komited melaksanakan amalan perniagaan yang beretika dan tadbir urus korporat yang baik untuk menjadi contoh kepada warga korporat dalam industri minyak dan gas. Uzma telah memfailkan laporan berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Virus-free. www.avg.com