Wednesday 10 May 2017

Malaysia pengeksport LNG ketiga terbesar dunia

Malaysia merupakan peng­­eksport gas asli cecair (LNG) ketiga terbesar dunia selepas Qatar dan Australia, dan dijangka terus mengekalkan kedudukan tersebut berdasarkan kemajuan teknologi penghasilan LNG yang dimiliki oleh negara.

Menurut penyelidikan yang dilakukan oleh agensi penyelidik industri, Investvine, fasiliti Terapung LNG Petronas Satu (PFLNG Satu) yang dimiliki oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) merupakan satu daripada faktor yang akan membolehkan Malaysia mengekalkan status sebagai antara pengeluar dan pengeksport LNG terbesar dunia.

Menurut agensi itu lagi, Jepun merupakan pasaran LNG terbesar Malaysia dengan menguasai 62 peratus eksport LNG negara, di­ikuti Korea Selatan (14 peratus), China (12 peratus) dan Taiwan (sembilan peratus).

“Industri gas asli memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia menerusi pendapatan eksport, penciptaan peluang pekerjaan, bayaran royalti dan cukai. Industri ini akan menjadi satu daripada faktor yang akan membantu Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi,” menurut laporan yang dilancarkan oleh Investvine sempena Persida­ngan Minyak dan Gas Asia (AOGC) Kali Ke-19.

PFLNG Satu merupakan yang pertama di dunia untuk membantu Petronas meneroka dan mengko­mersialkan rizab-rizab gas terpencil di perairan negara yang sebelum ini sukar untuk diusahakan.

Menurut kajian itu lagi, rizab gas yang berjaya ditemui di kawasan Malaysia diramalkan mampu bertahan selama 40 tahun lagi, lebih tinggi berbanding rizab mi­nyak yang hanya bertahan untuk tempoh 20 tahun.

Pada masa sama, kadar pengeluaran gas di Malaysia ialah 177 hingga 187 peratus lebih tinggi berbanding keperluan penggunaan domestik semasa.

“Lebihan pengeluaran itu mungkin dapat diselesaikan menerusi eksport, namun ia tetap bergantung kepada harga gas dunia semasa. Dijangkakan permintaan gas di rantau Asia akan meningkat mendadak dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” jelas laporan itu.

Investvine melihat usaha-­usaha untuk menggalakkan penggunaan gas sebagai bahan api oleh sektor-sektor tempatan serta penghapusan subsidi gas akan merancakkan lagi industri gas di ­Malaysia.