Friday 12 May 2017

Untung suku pertama sebelum cukai Gas Malaysia naik 13.9%

Gas Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM45.2 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac,  2017,  naik 13.9 peratus berbanding RM39.7 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya peningkatan itu disebabkan keuntungan kasar yang lebih tinggi sejajar dengan peningkatan jumlah gas yang dijual dan perbelanjaan pentadbiran yang rendah.

Perolehan kumpulan turut meningkat sebanyak 23.5 peratus kepada RM1,187.0 juta berbanding RM961.3 juta dalam tempoh sama pada 2016,  disebabkan jumlah gas yang dijual lebih tinggi dan semakan untuk menaikkan tarif gas asli.

Mengenai masa depan, Gas Malaysia menjangka peningkatan tahunan jumlah jualan gas dan bilangan pelanggan kekal bagi tahun kewangan 2017.

“Keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017 dijangka sejajar dengan paras yang mencerminkan rangka kerja mekanisme penetapan tarif semasa,” kata Gas Malaysia. Bernama