Thursday 12 May 2011

Shell Refining Kawal Kebocoran Di Loji Penapisannya Di Port Dickson

Shell Refining Company (Federation of Malaya) Bhd berkata kebocoran daripada kira-kira 35 tong sisa minyak petrol dari loji penapisannya di Port Dickson ke dalam parit monsun berdekatan minggu lepas telah dapat dikawal.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat itu berkata minyak petrol dikesan di longkang sepanjang Kampung Paya dan Kampung Air Meleleh, berdekatan dengan loji penapisan itu Sabtu lepas.

"Operasi pembersihan selama 24 jam dimulakan segera dan selesai lewat Isnin. Keadaan kini terkawal dengan semua minyak petrol ditemui dan terkawal, tiada impak pada kawasan sekitar. Usaha membendung telah memastikan minyak dihalang daripada mengalir ke Selat Melaka," kata syarikat itu.

Shell Refining berkata sebaik menemui kebocoran itu, pasukan respons kecemasan loji itu bersama dengan PIMMAG (Petroleum Industry Malaysia Mutual Aid Group) memulakan segera operasi pembersihan itu yang membabitkan 50 orang.

Lima boom juga dipasang untuk memerangkap lumpur dan mesin pengorek dibawa bagi membersihkan saliran.

Shell Refining berkata siasatan awal oleh loji penapisan itu menunjukkan bawa punca kebocoran itu adalah dari satu paip yang menghubungkan dengan tangki penyimpanan sisa minyak petrol.

Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) dan pihak berkuasa berkaitan yang lain juga telah dimaklumkan.

Bersama-sama dengan pihak berkuasa, syarikat itu berkata ia telah menjalankan siasatan penuh dan akan melaksanakan apa yang telah dipelajari daripada insiden itu bagi mengelakkannya daripada berulang.

-- BERNAMA