Thursday 5 May 2011

LPTA : Lynas ‘didenda’ RM50 juta bagi setiap bencana radiasi

Sementara panel antarabangsa sedang meneliti aspek kesihatan dan keselamatan, Lynas Corporation akan dipertanggungjawabkan dengan syarat ‘denda’ sehingga RM50 juta bagi setiap bencana jika loji pemprosesan nadir bumi mereka di Gebeng menyebabkan kebocoran radiasi.

Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) berkata syarikat Australia itu juga perlu menamakan individu yang perlu bertanggungjawab bagi sebarang kejadian tidak diingini sebelum ia boleh dibenar beroperasi di zon industri Gebeng dekat Kuantan, dijangka akhir tahun ini.

“Dalam undang-undang, entiti yang diberi lesen perlu menamakan seseorang yang bertanggungjawab bagi lesen dan ia akan bertanggungjawab sehingga RM50 juta bagi setiap insiden,” kata Ketua Pengarahnya Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan (gambar) dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider.

Katanya, ia selaras dengan Seksyen 59(1) Akta Pelesenan Tenaga Atom.

Pada 22 April lalu, Lynas Malaysia Sdn Bhd berkata kajian semula panel bebas terhadap kilang nadir bumi di Gebeng akan membantu menangani kebimbangan orang ramai terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar berhubung projek itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai.

Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai, dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh AELB.

Syarikat itu juga tidak dibenarkan untuk mengimport bahan mentah dari Australia sementara kerajaan membuat keputusan terhadap hasil kajian itu.

“Mereka membuat keputusan (untuk melabur RM700 juta) sebab mereka percaya bahawa mereka boleh memenuhi syarat-syarat yang ketat,” kata Raja Aziz.

Kata beliau, syarikat itu perlu membuat pradeklarasi dan mematuhi paras torium . — elemen radioaktif yang ditemui di kesemua simpanan nadir bumi dan uranium di kedua-dua bahan mentah dan sisa buangan.

Raja Aziz menambah, Lynas belum memenuhi keperluan permohonan bagi mendapatkan lesen praoperasi yang akan menyediakan tempoh selama tiga tahun bagi AELB untuk memantau dan mengesahkan sama ada keseluruhan proses pemprosesan adalah selari dengan perancangan pradeklarasi.

“Lynas ada menghantar kepada saya permohonan. Tetapi jika anda menghantar satu surat tanpa dokumentasi, ia bukan permohonan. Kami sudah melihatnya dan ia tidak lengkap,” kata beliau. - TMI