Tuesday 25 February 2014

Firma minyak India beli 10% pegangan projek LNG Petronas bernilai RM3 bilion

Firma minyak terbesar India, Indian Oil Corp, akan membeli 10% pegangan daripada Petronas dalam aset gas syal dan projek gas asli cecair (LNG) British Columbia bernilai US$900 juta.

Pengambilalihan pegangan saham dalam Progress Energy Resources Corp menandakan pembabitan pertama IOC di Amerika Utara.

"Saya ingin mengumumkan yang kami baru sahaja memuktamadkan 25% lagi pembelian ekuiti daripada syarikat India dan pembeli LNG Asia terkemuka," lapor Press Trust of India, memetik Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Shamsul Azhar Abbas sebagai berkata di Persidangan Pembekalan LNG Untuk Pasaran Asia di Singapura.

Walaupun beliau tidak mendedahkan identiti pembeli berkenaan, sumber berkata, IOC akan membeli 10% pegangan itu dan 15 lagi akan dibeli firma China.

Petronas, melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas International Corp, pada 2011 membeli Progress Energy Resources Corp Kanada bernilai 5.2 bilion dolar Kanada untuk mendapatkan aset gas syal milik Altares, Lily dan Kahta di timur laut British Columbia.

Pada Mac 2013, ia menjual 10% pegangan dalam pembangunan bersepadu gas syal dan projek LNG itu kepada Japan Petroleum Exploration Co (Japex) dan tiga% lagi kepada Petroleum Brunei, kata agensi berita itu.

Petronas sebelum ini mengumumkan ia merancang menjual sehingga 50% projek Kanada berkenaan. Selepas perjanjian dengan Japex, Petroleum Brunei dan terbaru 25% kepada firma seperti IOC, ia kini mempunyai 12% lagi untuk dilepaskan.


Syarikat Malaysia itu merancang membina terminal LNG di luar pantai Pasific Coast, Kanada dengan tujuan mengeksport gas asli ke pasaran Asia. Progress Energy memiliki lebih 1.9 trilion kaki padu simpanan gas di British Columbia.

Pegangan 10% IOC itu akan disertai perjanjian dagangan untuk syarikat tenaga India berkenaan. Ia merancang mengembangkan portfolio cari gali dan menghasilkan aset, manakala Petronas mahu sebahagian daripada kos berkenaan dikongsi bersama.

IOC yang sebelum ini terbabit dalam cari gali minyak dan gas di luar negara serta pengeluaran dengan syarikat milik kerajaan India, OIL India Ltd, kini berbincang dengan Petronas sahaja. Belum ada keputusan setakat ini untuk membabitkan OIL dalam pengambilalihan itu, kata laporan berkenaan. – Bernama

lazada malaysia