Monday 24 February 2014

RAPID Project Pengerang : Penduduk, polis bersemuka di jirat

Beberapa penduduk bergegas ke perkuburan Cina Sungai Kapal, Pengerang selepas mendapat tahu ia sedang dikira untuk persediaan memindahkannya ke tempat lain.

Naib Presiden Gabungan NGO Pengerang Sim Seng San berkata, penduduk mengambil langkah itu apabila mendapat maklumat bahawa lima pekerja sedang mengira jumlah kubur sambil dikawal oleh beberapa pegawai polis pagi ini.

Perkuburan itu akan dipindahkan ke Sungai Rengit, tidak jauh daripada tempat itu, bagi memberi laluan kepada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Ketika dihubungi Malaysiakini, Sim mendakwa, ketika tiba ke lokasi, penduduk mendapati jalan utama menghala ke perkuburan itu ditutup oleh trak polis.



Dakwanya, lebih 100 pegawai polis, termasuk yang tidak berpakaian seragam daripada Cawangan Khas serta Pasukan Gerakan Am mengawal kawasan itu.

Penduduk cuba menghentikan kerja-kerja pengiraan itu dan mula berlaku pertengkaran dengan polis, menyebabkan seorang penduduk digari sementara sebelum dilepaskan.

Laporan polis dibuat kontraktor

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Rahmat Othman menjelaskan, kehadiran pasukan keselamatan ekoran laporan polis pihak kontraktor.

“Kami mendapat laporan polis bahawa pekerja kontraktor diancam.

“Tidak kira siapa yang membuat laporan polis, kami akan tolong mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau mengesahkan anggota polis ditempatkan di sana tetapi enggan mendedahkan jumlahnya.
lazada