Thursday 27 February 2014

Ubah dasar bukan punca syarikat asing lari

Perubahan dasar minyak dan gas di negara ini beberapa tahun lalu bukan menjadi punca utama syarikat-syarikat kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) minyak dan gas asing menarik keluar pelaburan mereka di negara ini.

Naib Presiden Eksekutif, Perniagaan Eksplorasi dan Pengeluaran Petronas, Datuk Wee Yiaw Hin berkata, bagaimanapun penyusutan dalam pelaburan oleh syarikat-syarikat PSC disebabkan mereka menutup operasi kerana mahu mengurangkan pegangan dan kepentingannya di rantau ini.

Beliau berkata, terdapat banyak syarikat-syarikat PSC asing yang matang telah menamatkan kontrak dan digantikan dengan syarikat-syarikat PSC baharu yang berpotensi.

"Pergerakan ekonomi yang perlahan turut menjadi faktor syarikat-syarikat asing PSC menarik diri daripada pelaburan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan acara Persidangan Teknologi Luar Pesisir Pantai (OTC) Asia di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis pengumuman itu ialah Pengarah Projek OTC Asia 2014, Cordella Wong-Gillet.

OTC Asia yang julung kali diadakan di Asia dijangka berlangsung selama empat hari di sini bermula 25 Mac ini.


Setakat ini, Malaysia mempunyai 100 syarikat PSC yang aktif berbanding 150 syarikat sebelum ini.

Bercakap mengenai OTC Asia, Yiaw Hin berkata, sebanyak 6,000 syarikat perkhidmatan minyak dan gas di Malaysia akan mendapat manfaat daripada persidangan itu.

Kata beliau, salah satu manfaat adalah mewujudkan rangkaian dan perhubungan dalam industri, pendedahan terhadap industri perkhidmatan serta mewujudkan pakatan-pakatan baharu.

"Seramai 10,000 delegasi dari 61 buah negara dijangka mengambil bahagian dalam persidangan tersebut," ujarnya.