Tuesday 25 February 2014

Gas Malaysia-IEV Peruntuk RM15 Juta Bagi Sistem Pengedaran CNG Di Gebeng

Gas Malaysia-IEV Sdn Bhd, perniagaan usaha sama antara Gas Malaysia dan IEV Energy Sdn Bhd, memperuntukkan RM15 juta untuk sistem pengedaran gas asli dimampatkan (CNG) di Gebeng, dekat Kuantan.

Mengikut memorandum persefahaman yang ditandatangani di sini Isnin, syarikat usaha sama itu akan membekalkan gas bagi kawasan itu, yang jauh dari saluran paip Gas Malaysia dan tidak boleh diakses oleh industri, melalui saluran paip fizikal dari sistem pengagihan atau stesen induk.

IEV Energy adalah pembekal penyelesaian kejuruteraan bersepadu yang menyokong industri minyak dan gas luar pesisir kebanyakannya di rantau Asia Pasifik.

Peruntukan RM15 juta itu termasuk tanah seluas 0.4 hektar di Gebeng di mana stesen induk dirancang untuk dibina.

"Stesen induk itu akan dapat membekalkan gas dalam lingkungan 150 hingga 200 kilometer," kata Pengerusi Gas Malaysia, Datuk Hasni Harun pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu.

Gas Malaysia menguasai 75 peratus saham syarikat usaha sama itu dengan IEV Energy memegang baki 25 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar Syed AR Albar berkata ia akan mengambil masa dua tahun untuk dilancarkan dan tujuh kilang dirancang untuk kawasan itu, tanpa mendedahkan nama-nama pelanggan yang berminat.



Menyasarkan pelanggan di Kuantan, Temerloh, Mentakab dan Gebeng, stesen induk itu dijangka mencapai 300,000 juta unit termal British metrik setahun.

Pada majlis yang sama, Gas Malaysia dan Tokyo Gas Company Ltd, anak syarikat Energy Advance Co Ltd, menubuhkan sebuah syarikat usaha sama, Gas Malaysia- Energy Advance Sdn Bhd, untuk menawarkan gabungan sistem haba dan kuasa (CHP) untuk pelanggannya.

"Sistem ini boleh membantu industri mengurangkan kos elektrik sehingga 20 peratus," kata Syed Faisal Albar, sambil menambah bahawa syarikat memanfaatkan asas pelanggan Tokyo Gas.

Gas Malaysia menguasai 66 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama itu dengan selebihnya dipegang oleh Tokyo Gas. -- BERNAMA

lazada malaysia