Thursday 27 February 2014

Untung Pracukai WASCO Susut Kepada RM64.319 Juta

Keuntungan sebelum cukai Wah Seong Corporation Bhd susut kepada RM64.319 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013 berbanding RM82.481 juta dalam tempoh yang sama pada 2012.

Syarikat itu berkata perolehan juga berkurangan kepada RM1.779 bilion berbanding RM1.951 bilion setahun yang lepas.


Sebaliknya, keuntungan sebelum cukai bagi suku keempat meningkat kepada RM40.182 juta berbanding RM9.652 juta dalam suku yang sama pada 2012.

Ini disebabkan sumbangan yang lebih tinggi oleh segmen minyak dan gas yang menandakan permulaan bagi projek baharu salutan paip.

Dalam masa yang sama, hasil naik kepada RM494.596 juta berbanding RM463.82 juta pada tahun 2012, ujar syarikat itu di dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

Projek dalam tangan semasanya berjumlah RM1.7 bilion, dengan RM1.3 bilion dalam segmen minyak dan gas, RM279.6 juta dalam tenaga boleh baharu dan RM160.3 juta dalam perdagangan industri dan perkhidmatan.

Syarikat itu menjangkakan prestasi yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2014 hasil penyertaan berterusan dalam tender. -- BERNAMA

lazada