Tuesday, 11 September 2012

Cari kaedah baru bekal gas



Gas Malaysia Bhd. (Gas Malaysia) sentiasa mencari jalan untuk terus inovatif bagi membekalkan gas memandangkan banyak kawasan perindustrian masih belum dapat ditembusi.

Pengarah Urusannya, Datuk Muhamad Noor Hamid berkata, faktor utama bekalan gas tidak dapat disalurkan ke sesetengah kawasan industri ialah masalah saluran paip gas dan antara kawasan yang yang masih belum dapat ditembusi ialah Ipoh, Pekan dan Batu Pahat.

''Oleh itu, selain menggunakan saluran paip gas, kami turut menyediakan 'tanker' bagi menghantar bekalan kepada pelanggan.

''Objektif Gas Malaysia adalah menghantar bekalan kepada industri dan bukan sahaja memikirkan peningkatan jualan atau keuntungan.

''Kami masih lagi menilai cara terbaik untuk menghantar bekalan tersebut dan berharap dapat memuktamadkan perancangan itu menjelang akhir tahun ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai perancangan Gas Malaysia untuk mengadakan kerjasama dengan syarikat luar, Muhamad Noor berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menjalankan kerjasama di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.

''Pada masa ini fokus kami adalah di pasaran tempatan dan apabila sampai masa, pengembangan perniagaan di luar akan dibuat.

''Kami mempunyai kepakaran dan pengalaman sekiranya tidak menjalankan kerjasama, Gas Malaysia turut mampu mengeksport kepakaran.

''Setakat ini, kami masih lagi meninjau peluang bersesuaian dengan syarikat,'' jelasnya.

Tambah Muhamad Noor, bagi suku ketiga Gas Malaysia optimis mencatatkan keputusan kewangan lebih baik berbanding suku pertama dan kedua tahun ini.

''Keyakinan tersebut dibuat berdasarkan permintaan yang lebih baik dan suku tersebut juga adalah tempoh perbandingan antara suku lebih setanding dengan tahun lalu,'' ujarnya.

Muhamad Noor berkata, pada tahun ini Gas Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan modal tertinggi sebanyak RM140 juta, pada tahun hadapan jumlah tersebut dikurangkan dengan pembayaran dividen juga adalah pada kadar minimum sebanyak 75 peratus.

Gas Malaysia baru-baru ini telah memeterai perjanjian dengan Petronas Gas Bhd. (PetGas) untuk meningkatkan bekalan gas asli sebanyak 110 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) kepada 492 mmscfd.

Bekalan tersebut adalah sehingga 2015.

Selepas 2015, Gas Malaysia fokus untuk mendapatkan lebih volum dan optimistik mendapatkannya untuk tempoh 2016 sehingga 2018. - Utusan