Monday 3 September 2012

Perolehan Petronas Chemical meningkat 16%


Petronas Chemical Group Bhd. (PCG) mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 16 peratus kepada RM3.9 bilion bagi suku kedua tahun ini yang berakhir Jun lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut satu kenyataan, rekod tersebut disumbang oleh peningkatan prestasi operasi di sebalik harga purata yang sedikit merosot.

Secara keseluruhan, keuntungan kumpulan bagi suku tersebut berkembang lapan peratus kepada RM0.9 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perolehan kumpulan bagi tempoh enam bulan pula, turut meningkat kepada RM8.3 bilion berbanding sebelumnya berikutan prestasi operasi yang semakin baik, selain jumlah jualan yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, keuntungan bagi tempoh tersebut sedikit menyusut sebanyak satu peratus kepada RM2.1 bilion disebabkan sumbangan salah satu syarikat bersekutu yang merosot berikutan persekitaran pasaran yang mencabar selain perbelanjaan cukai yang tinggi kepada kumpulan.

"Portfolio produk yang pelbagai membantu kami mengurangkan kesukaran dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang mencabar ketika ini, kami akan terus menawarkan produk-produk yang berkualiti selain memberi fokus kepada pasaran memberi nilai terbaik," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Dr. Abd. Hafiz Abdullah.

Dengan itu, ahli lembaga pengarah PCG turut mengumumkan dividen interim peringkat tunggal sebanyak lapan sen sesaham atau RM640 juta dan akan dibayar pada 16 Oktober ini kepada pemegang saham.