Tuesday, 18 September 2012

Petronas rancang bina unit pemprosesan gas asli di Bintulu



Petronas Carigali Sarawak merancang untuk melabur sebanyak RM10 bilion untuk membina satu unit pemprosesan gas asli dikenali 'Train 9 Project' di Kompleks Petronas Gas Asli Bintulu.

Ketua Operasi Petronas Carigali Sarawak, Mohd. Nazori Janor berkata, projek berkenaan dijangka mampu menghasilkan sebanyak 3.6 juta metrik tan gas asli setahun.

Menurutnya, Petronas juga merancang untuk membangunkan Projek Gas Asli Terapung yang juga dikenali sebagai 'FLNG1' di luar pesisir pantai negeri ini.

"Petronas juga dijangka akan membelanjakan kira-kira RM300 bilion dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2015 bagi pemulihan simpanan minyak secara berperingkat.

"Ia juga bagi mengekalkan tahap pengeluaran dan meningkatkan sumber minyak mentah serta menjana peluang pekerjaan dalam sektor minyak dan gas," katanya ketika berucap di Malam Media Petronas - Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) 2012 di sini, hari ini.

Sementara itu, Nazori memberitahu, Petronas telah mengeluarkan kira-kira 40 peratus kepada tabung kebangsaan dan sumbangan termasuk cukai serta pembayaran dividen secara tetap yang mencecah hampir RM30 bilion setahun.

"Subsidi gas yang ditanggung oleh Petronas dijangka meningkat pada tahun ini iaitu RM28 bilion berbanding RM23.7 bilion tahun lalu," katanya.