Saturday 1 September 2012

Tanjung Bin Pada Peringkat Akhir Rundingan Terima Pelaburan RM2 Bilion




JOHOR BAHARU - Pusat Maritim dan Petrokimia Tanjung Bin (TBPMC) kini pada peringkat akhir rundingan dengan beberapa syarikat berpotensi yang berminat untuk melabur kira-kira RM2 bilion di hab industri minyak dan gas itu.

TBPMC yang berkeluasan 902 hektar (2,255 ekar) dan dibangunkan pada kos RM2.4 bilion oleh Seaport Worldwide Sdn Bhd, yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Johor Port.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Shahrull Allam Shah Abdul Halim berkata sebuah syarikat telah pun menandatangani memorandum persefahaman dengannya yang bakal menyaksikan pelaburan sebanyak RM1 bilion di TBPMC.

Pelaburan RM1 bilion itu juga melibatkan pembinaan kemudahan jeti di TBPMC.

"Kita sedang berunding secara serius dengan tiga pelanggan yang berpotensi dengan keseluruhan pelaburan bernilai kira-kira RM2 bilion," kata beliau kepada Bernama dalam temu ramah di pejabatnya baru-baru ini.

Dengan kemasukan tiga pelabur baru itu ke TBPMC, beliau berkata, ia akan menambah kapasiti kemudahan penyimpanan minyak di pusat itu sebanyak tiga juta meter padu lagi.

Menurut Shahrull Allam Shah, jika dibangunkan secara keseluruhan sebagai pusat penyimpanan minyak, TBPMC berkemampuan menampung sehingga 10 juta meter padu minyak.

Pada ketika ini TBPMC mempunyai satu pelanggan iaitu ATT Tanjung Bin Sdn Bhd (ATB) yang telah pun beroperasi dengan kemudahan penyimpanan minyak sebanyak 860,000 meter padu.

ATB merupakan syarikat usaha sama 50:50 antara syarikat pedagang tenaga terbesar dunia, Vitol Terminals BV and konglomerat maritim tempatan, MISC Bhd.

Pada 10 April tahun ini, ATB mencatat sejarah apabila ia buat pertama kali menerima muatan minyak daripada kapal tangki, MT Kittion seberat 100,000 DWT (tan berat muatan) untuk dipasarkan ke pasaran serantau.

ATB yang mula dibina pada September 2009 dengan pelaburan permulaan sebanyak RM1 bilion, beroperasi di atas tanah seluas 49.2 hektar (123 ekar) di TBPMC itu kata Shahrull Allam Shah.

Kemudahan penyimpanan minyak milik ATB itu pada akhirnya akan memiliki kapasiti penyimpanan minyak sebanyak antara 1.2 juta dan 1.4 juta meter padu, katanya.

Menurut Shahrull Allam Shah, fokus syarikat pada ketika ini adalah untuk membangunkan fasa pertama TBPMC di atas tanah seluas antara 120 hektar (300 ekar) hingga 160 hektar (400 ekar) dengan kemudahan bagi aktiviti penyimpanan minyak.

"TBPMC merupakan salah satu Projek Permulaan (EPP) yang telah dikenal pasti bersama-sama projek EPP yang lain di Iskandar Malaysia. Kita telah membuktikan bahawa kita mampu merealisasikan projek EPP, malah ia telah pun beroperasi," katanya.

Di bawah pembangunan Iskandar Malaysia, kerajaan mempunyai perancangan untuk membangunkan industri minyak dan gas dan telah mengenal pasti Tanjung Bin sebagai antara pusat utama industri terbabit.

Shahrull Allam Shah berkata terdapat permintaan yang amat tinggi terhadap kemudahan minyak dan gas di selatan Johor dan TBPMC yang terletak di lokasi yang amat strategik, berkemampuan menarik pelaburan baru di dalam industri itu.

"Terletak berhadapan dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas, dengan lokasi yang amat strategik, 45 minit daripada Selat Melaka serta laut yang dalam dan berkemampuan menerima kapal-kapal besar sehingga VLCC (pengangkut minyak mentah amat besar), TBPMC merupakan destinasi menarik untuk industri minyak dan gas," kata Shahrull Allam Shah.

-- BERNAMA