Friday, 21 September 2012
Terminal LNG operasi Oktober
Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair (LNG) di Sungai Udang, Melaka dijangka beroperasi secara komersial menjelang Oktober ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, dengan adanya terminal tersebut dan ditambah dengan beberapa projek lain, Malaysia sudah bersedia untuk menjadi hab minyak dan gas di Asia.
" Ini sejajar dengan hasrat kerajaan yang dinyatakan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP)," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) di sini hari ini.
Kemudahan memproses gas milik Petronas Gas Bhd. itu membabitkan pembinaan kemudahan regasifikasi, unit penyimpanan terapung dan saluran paip dasar laut dengan kapasiti penghantaran maksimum gas sebanyak 3.8 juta tan setahun.
Regasifikasi adalah proses penyejatan untuk menukar LNG kembali ke dalam bentuk gas yang membolehkan ia diangkut ke terminal pengedaran.
Dalam pada itu, Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, MOGSEC dijangka mampu menarik kira-kira 10,000 pembeli perdagangan dari industri tersebut.
Tambahnya, industri minyak dan gas merupakan pemangkin kepada ekonomi negara dan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan Malaysia.
Seramai 289 peserta pameran yang terdiri daripada penyedia perkhidmatan dan produk berkaitan minyak dan gas menghadiri MOGSEC yang berlangsung selama tiga hari.
Antara pemain industri yang terlibat adalah Petronas, MMC Oil & Gas, Muhibbah Engineering, SapuraKencana Petroleum, Schlumberger WTA, Technip, UMW Oil & Gas serta Wasco.