Friday, 21 September 2012
Johor Sasar Kemampuan Penyimpanan Minyaknya Cecah 10 Juta Meter Padu
Johor menyasarkan kemampuan penyimpanan minyaknya akan mencecah 10 juta meter padu antara 2017-2020 bagi membolehkannya muncul sebagai hab penyimpanan minyak Asia yang baharu, kata Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC).
Ketua Eksekutifnya, Mohd Yazid Jaafar berkata kemampuan penyimpanan minyak sebanyak 10 juta meter padu itu akan datang dari kompleks-kompleks yang terdapat di Pengerang, Tanjung Bin dan Tanjung Langsat.
"Kita merancang untuk mencapai matlamat itu (10 juta meter padu) itu secara berfasa antara 2017-2020," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
JPDC merupakan sebuah agensi kerajaan pusat, yang baharu sahaja ditubuhkan bagi menyelaras pembangunan sektor minyak dan gas di Johor, terutamanya di dalam industri hiliran seperti penapisan dan penyimpanan minyak serta petrokimia.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, merupakan pengerusi bersama JPDC.
Menurut Mohd Yazid, mengikut perancangan Pengerang bakal mempunyai kemampuan penyimpanan minyak sebanyak 5.0 juta meter, manakala Tanjung Bin pula 3.0 juta meter padu dan 2.0 juta meter padu pula di Tanjung Langsat.
Pada masa ini, kemampuan penyimpanan minyak di Tanjung Langsat adalah 650,000 meter padu manakala di Tanjung Bin pula mencecah 840,000 meter padu, katanya.
Di Pengerang, syarikat Dialog dengan kerjasama Royal Vopak NV dan kerajaan negeri sedang membina kemudahan Terminal Petroleum Air Dalam Bebas (IDPT) bernilai RM5 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada 2014.
Fasa pertama projek itu termasuk membina kemudahan penyimpanan minyak bagi 1.3 juta meter padu, bernilai RM1.9 bilion, akan siap pada tahun depan.
Jika dibesarkan lagi, kemudahan itu mampu menampung tambahan lebih 1.0 juta meter padu minyak.
Baru-baru ini, Johor Port memberitahu Bernama bahawa ia sedang dalam peringkat akhir rundingan dengan tiga pelabur tentang pelaburan bernilai RM2 bilion di dalam operasi penyimpanan minyak di Pusat Maritim dan Petrokimia Tanjung Bin (TBPMC).
TBPMC dibangunkan oleh Seaport Worldwide Sdn Bhd, sebuah anak syarikat penuh Johor Port.
Menurut Mohd Yazid, pihaknya juga menyasarkan perolehan simpanan antara 0.8 hingga 1.2 juta meter padu perolehan tangki sebulan sebagaimana tahap industri yang diamalkan di negara jiran, Singapura.
"Ia bermakna di dalam setahun, di antara 100 juta hingga 140 juta meter padu minyak keluar masuk tangki-tangki terbabit," katanya.
Pada ketika ini, kemampuan penyimpanan minyak bebas di Singapura adalah kira-kira 10 juta meter padu, manakala di Amsterdam-RotterdamAmtwerp (ARA) mencecah di antara 40-45 juta meter padu.
-- BERNAMA