Friday 1 April 2011

Labur RM4b bina kilang polimer

PETRONAS dan pengeluar produk kimia terbesar dunia, BASF SE akan memulakan kajian daya maju untuk membina sebuah kilang polimer boleh serap di Malaysia membabitkan pelaburan RM4 bilion.

Projek itu yang dijangka menyediakan 500 peluang pekerjaan baru kepada pekerja mahir tempatan dibincangkan ketika kunjungan hormat delegasi BASF SE diketuai anggota Lembaga Pengarah Eksekutifnya, Dr Martin Brudermuller kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, semalam.

Kedua-dua firma itu juga bercadang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran asid akrilik dan n-butana menerusi syarikat usaha sama, BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd.

Mengulas perkembangan itu, Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Hiliran PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata masa depan industri petrokimia akan dibentuk menerusi perubahan dalam arah aliran global seperti meningkatnya kesedaran mengenai tahap kesihatan di kalangan pengguna.

Katanya, arah aliran itu menyebabkan pertumbuhan kukuh permintaan bagi bahan kimia khusus termasuk polimer boleh serap dalam kegunaan kebersihan peribadi.

“Kejayaan usaha sama PETRONAS dengan BASF memberikan kami keyakinan untuk meninjau peluang kerjasama lanjut dalam portfolio nilai tambah lebih tinggi dan turut meletakkan kumpulan sebagai peserta utama industri petrokimia di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Brudermuller berkata kerjasama BASF PETRONAS Chemicals memainkan peranan penting kepada firma berpangkalan di Jerman itu untuk mencapai Strategi Asia Pasifik Kumpulan bagi 2020.

Katanya, menerusi pelaburan dalam bahan kimia khusus itu, kumpulan akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggannya di rantau Asia.

Dengan pengembangan kapasiti dan pembabitan dalam bidang polimer boleh serap, kami akan menjana potensi lebih jauh dalam rantaian nilai industri akrilik menerusi BASF PETRONAS Chemicals,” katanya.

Polimer boleh serap adalah bahan yang mempunyai keupayaan menyerap dan mengekalkan sejumlah besar air dan penyelesaian yang berkaitan dengan air.

Bahan itu diperbuat daripada sebahagian poli asid akrilik yang neutral dan ringan serta menjadi bahan utama dalam pembuatan lampin pakai buang, produk pembersih wanita dan lampin dewasa.

Ia turut digunakan dalam penebat kabel, pasu tanah dan campuran kompos profesional, bungkusan makanan serta bahan buangan perubatan.

Pelaburan baru itu adalah sebahagian daripada komitmen BASF PETRONAS Chemicals yang ditubuhkan pada 1997.

Syarikat itu kini beroperasi di sebuah kompleks bersepadu di Zon Perindustrian Gebeng, Pahang.

BASF memegang 60 peratus kepentingan dalam syarikat itu manakala bakinya oleh PETRONAS dengan jumlah pelaburan bernilai RM3.4 bilion untuk kemudahan pengeluaran bahan seperti monomer akrilik, produk berasaskan oksigen dan butanediol.