Thursday 14 April 2011

MB Pahang batal program taklimat Lynas

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob membatalkan semua siri taklimat awam mengenai pembinaan kilang Lynas Corporation yang memproses "rare earth" (nadir bumi) di Gebeng, bermula malam tadi (12 April).

Sebelum ini, dua siri daripada 8 siri penerangan berkaitan isu kontroversi itu telah diadakan di Kompleks Dagangan Indera Mahkota dan di Duta Village Hotel, Sungai Karang minggu lalu anjuran kerajaan negeri.

Menurut Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Saad, pembatalan program yang sepatutnya berlangsung malam tadi dan malam ini tanpa diketahui sebabnya akan lebih mengusutkan keadaan.

“Sudah dua siri penerangan kerajaan negeri berkaitan kilang Lynas di Gebeng, tetapi Menteri Besar atau Exco dan wakil Lynas tak pernah hadir, yang ada hanya wakil daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, Nuklear Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

“Akibatnya banyak soalan yang diutarakan tidak dapat dijawap dan diberi alasan bukan bidang kuasa mereka, ini menyebabkan ramai penduduk Kuantan yang datang kecewa dan menimbulkan tidak puas hati sehingga timbul sedikit ketegangan.

(Gambar: Jadual asal penerangan isu Lynas)


“Tetapi apabila MB sendiri membatalkan terus enam lagi sessi taklimat yang dianjurkan kerajaan sendiri, keadaan ini akan lebih mengecewakan penduduk Kuantan yang berada dalam kebimbangan,“ katanya kepada Harakahdaily.

Lynas Corporation Ltd (Lynas) merupakan syarikat milik penuh Australia yang memproses ‘rare earth’ bagi tujuan industri. Bahan tersebut dipunggah dari Australia manakala sisa pemprosesan iaitu bahan buangan thorium yang dikatakan mengandungi bahan radioaktif yang berbahaya kepada manusia dan alam.

Mengikut kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang, syarikat berkenaan mula beroperasi September ini.

Lynas dianugerahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan ‘Strategic Pioneer Status’ iaitu syarikat berkenaan – tidak perlu membayar cukai import atau export selama 12 tahun.

Menurut Suhaimi, pada ketika ini, penduduk Kuantan sedang berusaha keras mendesak pembatalan operasi kilang berkenaan kerana mereka bimbang kesan radiasi daripada sisa buangan berkenaan boleh menimbulakan kesan negatif seperti barah bayi lahir cacat dan abnormal sehingga berlarutan memakan masa begitu lama.

“Pelbagai cara bantahan telah dibuat penduduk antaranya berdemonstrasi di parlimen dan setiap kali lepas Sembahyang Jumaat di Masjid Balok. Tandatangan penduduk juga diambil dan sehingga kini sudah lebih 50,000 tandatangan dikutip,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menyatakan, sebelum meluluskan tapak pembinaan kilang tersebut, pihaknya telah mendapat penjelasan dan pandangan daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dan pakar tenaga atom mengenai tahap keselamatan penduduk terhadap kesan radioaktif atau radiasi dari kilang tersebut.

Siri penerangan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri itu bertujuan untuk meyakinkan penduduk Kuantan.

“Pada saya sesi penerangan dan taklimat awam yang dianjurkan hanya setakat silap mata untuk menghalalkan projek yang menjadi kemarahan rakyat. Penerangan yang tidak telus tidak meredakan gundah gelana rakyat yang sangat bimbang dengan projek yang boleh memudaratkan manusia dan alam sekitar itu,” tambah Suhaimi. - Harakahdaily