Tuesday 26 April 2011

Weststar, MHS Aviation Raih kontrak RM7.2 bilion sedia khidmat 14 helikopterluar pesisir kepada firma minyak dan gas

DARI kiri Ma'som, Keith Collins, Syed Azman, Noor
Ashikin, Johari dan Rahim pada majlis
menandatangani kontrak perkhidmatan helikopter
luar pesisir kepada lima firma minyak dan gas.


Weststar, MHS Aviation sedia khidmat 14 helikopter


DUA syarikat pengangkutan udara tempatan, Weststar Aviation Services Sdn Bhd serta MHS Aviation Bhd meraih kontrak berjumlah RM7.2 bilion bagi menyediakan perkhidmatan 14 helikopter luar pesisir kepada lima firma minyak dan gas.

Di bawah kontrak perkongsian pengeluaran itu, Weststar Aviation iaitu anak syarikat Kumpulan Weststar akan menyediakan sembilan helikopter dalam satu urus niaga bernilai RM4.2 bilion kepada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Newfield (Malaysia) Inc, Petrofac (Malaysia-PM304) Ltd dan Talisman (Malaysia) Ltd.

MHS Aviation, iaitu sebuah anak syarikat Boustead Holdings Bhd pula meraih kontrak bernilai RM3 bilion bagi menyediakan lima helikopter kepada Petronas Carigali Sdn Bhd, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc dan Newfield Peninsular Malaysia Inc.

Kontrak yang diperoleh kedua-dua syarikat bagi tempoh 10 tahun itu adalah untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi kerja pemasangan serta penggerudian luar pesisir lima firma minyak dan gas berkenaan di Kerteh, Terengganu.

Kontrak yang diperoleh menerusi proses tender terbuka itu mengukuhkan kedudukan kedua-dua syarikat berkenaan sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.

Majlis memeterai perjanjian kontrak itu diadakan di Kuala Lumpur, semalam. Pada majlis itu, Weststar Aviation diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim manakala MHS Aviation diwakili Ketua Eksekutifnya, Ir Ma’som Mahadi.

Naib Presiden Pengeluaran Malaysia PCSB, Johari Dasri; Pengurus Pemerolehan Kawasan ExxonMobil Exploration and Production Malaysia, Noor Ashikin Mohd Jidan; Pengurus Besar Petrofac, Keith Collins dan Penasihat Kanan Pengurusan Rantaian Bekalan Talisman, Rahim Ismail mewakili syarikat masing-masing.

Pemeteraian perjanjian dengan Newfield pula akan dibuat berasingan.

Mengulas mengenai kontrak itu, Syed Azman berkata ia merintis jalan kepada syarikatnya untuk mengukuhkan perniagaan dalam sektor minyak dan gas, terutama pada peringkat rantau Asia Tenggara.

“Kami juga sudah menerima jemputan untuk membida kontrak bagi perkhidmatan serupa di Thailand dan Myanmar. Keputusannya dijangka diketahui sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, syarikatnya merancang menambah empat helikopter AgustaWestland AW139 lagi tahun ini bagi menyokong 19 helikopter sedia ada.

Sementara itu, Ir Ma’som berkata, MHS Aviation akan menggunakan pengalaman selama 28 tahun dalam industri pengangkutan udara untuk memberikan mutu perkhidmatan terbaik.