Kita juga bimbang, jikalau kajian itu mendapati Lynas tidak selamat, maka berapa juta wang rakyat akan dibazirkan untuk membayar ganti rugi kepada Lynas
Tiada lesen hingga panel antarabangsa kaji Lynas
Sebuah panel antarabangsa yang terdiri daripada “pakar luar negara” akan ditubuhkan bagi menjalankan kajian menyeluruh berhubung keselamatan pusat pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Material Plant di Gebeng, Pahang.

Sehingga panel berkenaan membentangkan laporannya, Mustapa berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan apa-apa lesen pra-operasi kepada Lynas.
Lynas juga, katanya tidak akan dibenarkan mengimport sebarang bahan mentah nadir bumi sepanjang tempoh berkenaan. Selain itu, Mustapa berkata kerajaan juga akan mengkaji semula operasi pusat itu, termasuk pembinaan pusat tersebut yang sedang dibina.

“Apa yang penting, mereka ini pakar dan berkecuali dan dari luar negara. Ini tiga elemen utama,” katanya pada sidang media di sebuah hotel Kuala Lumpur.
Bulan lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili memberi jaminan bahawa pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif nadir bumi di Gebeng, yang bernilai hampir RM700 juta, adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan awam.

Namun projek kontroversial itu terus mendapat bantahan daripda pelbagai pihak termasuk penduduk sekitar Kuantan, aktivitis, NGO, Save Malaysia dan juga parti-parti politik Pakatan Rakyat.