Thursday 7 April 2011

PETRONAS nafi tarik diri projek di Jawa Tengah

Tambak Lorok Combined Cycle Station Blocks I & II

PETRONAS akan meneruskan pembangunan lapangan Kepodang di kawasan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Muriah di Indonesia untuk membekalkan gas kepada jana kuasa Tambak Lorok di Jawa Tengah.

Syarikat minyak nasional itu dalam kenyataannya semalam menafikan laporan baru-baru ini bahawa ia menarik diri daripada pembangunan lapangan minyak berkenaan.

“Perjanjian jualan gas dan pengangkutan gas sedang dirangka dan dijangka dimuktamadkan bulan ini,” kata kenyataan itu.
Petronas membeli keseluruhan kepentingan dalam PSC Muriah Indonesia pada 2004.

Seperti syarikat minyak dan gas lain, Petronas berkata, ia akan terus menyemak semula portfolio pelaburannya di seluruh negara bagi memastikan kemampanan dan keuntungan.

Sehubungan itu, katanya, rakan kongsi berpotensi bagi lapangan Kepodang juga sedang dipertimbangkan. – BERNAMA