Friday 29 April 2011

Lynas: Penduduk mahu suara dalam panel bebas

Penduduk sekitar Kuantan yang membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi mahu wakil mereka dalam panel bebas yang dibentuk kerajaan bagi mengkaji projek kontroversial bernilai RM700 juta itu.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan satu panel bebas akan ditubuhkan bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu ekoran kebimbangan ia akan mencetuskan ancaman radioaktif.

Bagaimanapun kumpulan yang dinamakan “Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas” memberitahu The Malaysian Insider bahawa orang ramai tidak dapat diyakinkan jika panel bertindak sebagai seolah-olah urusan tertutup tanpa membabitkan suara penduduk.

Pengerusinya Vincent Jiam juga menggesa Lynas Corporation agar menghentikan kerja-kerja di loji tersebut memandangkan publik berpandangan bahawa operasinya akan diteruskan memandangkan apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan tidak lebih daripada kerja perhubungan awam.

“Ia seolah-olah mereka sudah tahu keputusannya. Apa yang masyarakat katakan selama ini tidak diambil kira dan akhirnya masih berpegang kepada keputusan yang sama.

“Publik hanya akan mempercayai proses kajian ini sekiranya mereka menjadi sebahagian daripada panel,” katanya.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh juga berkata beliau telah meminta agar diadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai pembenukan panel bebas itu.

“Saya telah hantar surat kepada menteri pada hari Isnin (kelmarin). Saya masih menunggu pengesahan lantikan dan saya bersedia bila-bila masa minggu ini,” kata Naib Presiden PKR itu.

Minggu lalu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, panel itu akan dilantik “dalam beberapa hari” untuk mengkaji loji pemprosesan nadir bumi yang dilakukan oleh syarikat Australia itu di Gebeng dekat Kuantan.

Beliau menegaskan tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas dan tiada bahan mentah akan diimport ke Malaysia dari Australia sehingga Putrajaya dan kerajaan negeri Pahang memutuskan hasil kajian itu.

Bagaimanapun Lynas, memutuskan untuk meneruskan pembinaan loji pemprosesan itu sambil menyambut baik penubuhan panel bebas itu.

Lynas menjangkakan akan menerima lesen praoperasi daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) September ini, yang mana ia akan diperbaharui dalam tempoh tiga tahun.

“Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas” juga mahu wakil mereka dilantik dalam panel bebas itu sebagai pemerhati kajian tersebut.

“Kami mahu pakar kami bagi memastikan keseluruhan kajian itu dilakukan dengan telus,” kata Jiam.

AELB berkata panel itu terdiri daripada lima hingga tujuh orang pakar.

“Mereka diiktiraf Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” kata Ketua Pengarah Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan, merujuk badan antarabangsa itu dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam hal-hal radioaktif.

Pencinta alam sekitar dan penduduk Kuantan mempersoalkan kesan sisa radioaktif yang dihasilkan dan pembinaan loji itu, bimbang akan mengulangi kejadian sama di Bukit Merah, Ipoh yang telah mencatatkan lapan kes leukaemia dengan tujuh kematian.

Selepas mendapat tentangan yang hebat ekoran kadar radiasi pada 1992, loji pemprosesan dibersihkan dengan kos melebihi RM300 juta.

Tekanan itu juga menyebabkan pemimpin MCA Pahang mahu satu kajian dilakukan sebelum loji itu mula beroperasi pada September.

Lynas menjangkakan ia akan mendapat keuntungan sehingga RM8 bilion bermula 2013 dari hasli nadir bumi yang boleh digunakan untuk mengeluarkan produk berteknologi tinggi seperti telefon pintar, kereta hibrid dan bahan letupan.