Pengerusi Majlis Bertindak Rakyat Negeri Pahang, Syed Ali Badaruddin Syed Othman, menganggap kenyataab bersifat ugutan tersebut dibuat setelah Kerajaan Negeri Pahang terdesak dengan bantahan rakyat dan tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Syed Ali memberi reaksi demikian kepada Harakahdaily, bagi mengulas kenyataan Adnan semalam ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang ke 12, yang berkata kilang-kilang lain juga perlu ditutup sekali kerana mereka turut mengeluarkan bahan radioaktif.
“Jika kerajaan mengambil tindakan menghentikan projek Lynas, maka kilang-kilang lain juga perlu ditutup sekali karana mereka turut mengeluarkan bahan radioaktif.
“Kita lihat nanti reaksi keluarga serta 20,000 pekerja Gebeng sekiranya kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan menutup seluruh kawasan perindustrian tersebut,” kata Adnan semasa mencelah perbahasan berkaitan kilang Lynas.
Lynas Corporation Ltd (Lynas) merupakan syarikat milik penuh Australia yang memproses ‘rare earth’ bagi tujuan industri. Bahan tersebut dipunggah dari Australia manakala sisa pemprosesan iaitu bahan buangan thorium yang dikatakan mengandungi bahan radioaktif yang berbahaya kepada manusia dan alam itu, dilupuskan di Kuantan.
Mengikut kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang, syarikat berkenaan mula beroperasi September ini.
Syed Ali berkata, walaupun kilang Lynas merupakan pelaburan kepada negeri ini tetapi sangat berisiko yang akan ditanggung rakyat dan mempunyai kesan dalam jangka panjang yang tidak terfikir pada masa akan datang.
“Jadi pelaburan ini secara tidak langsung boleh ‘menghalau’ pelabur yang lain kerana kesan jangka panjangnya iatu dari segi fizikal atau mekanikal, apabila berlaku bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan sebagainya tidak menjamin keselamatan pelupusan radioaktif.
“Kalau kita tengok, di Jepun semuanya pakar-pakar hebat tetapi bila berlaku Tsunami semunya hancur. Ini pula negeri ini yang tidak ada kepakaran seperti negara-negara maju, satu masa kalau berlaku bencana siapa akan bertanggungjawab,” soalnya.
Syed Ali berkata, kenapa kerajaan negeri perlu memilih pelaburan berisiko sedangkan negeri ini pilihannya banyak kerana kaya dengan hasil hutan tropika, pelbagai sumber galian, hasil tanah dan produk pelancongan yang kaya.
“Jadi pada saya MB hanya mengugut apabila berkata seluruh kilang di kawasan Gebeng patut ditutup jika kilang Lynas tidak dibenarkan beroperasi kerana bantahan rakyat,” katanya. - Harakahdaily
Dunia NDT & Inspection Jikalau MB Pahang ingin melihat Unemployment rate meningkat, penurunan hasil negeri dari cukai industri & peralihan undi kepada pihak lain, MB Pahang dipersilakan untuk melakukan sedemikan.